html>
Thursday, July 29, 2010.
Saya sering teringatkan arwah bapa kebelakangan ini. Bapa saya telah meninggal dunia pada tanggal 26 haribulan March 1992. Beliau seorang yang tegas, garang dan bertanggungjawab. Namun beliau sangat disenangi oleh kawan-kawan serta keluarga kerana sifatnya yang baik hati dan sering membantu orang yang memerlukan pertolongan tatkala mereka ditimpa masalah. Walaupun arwah bapaku telah lama bermastautin di Singapura, beliau seringkali terkenang masa lalunya di kampung, terutama sekali makanan-makanan kampung. Salah satu lauk yang digemarinya ialah Pekasam. Apakah itu Pekasam? Tidak mungkin semua orang tahu, apatah lagi anak-anak muda sekarang. Jika anda ingin mencuba, ikutilah cara-cara membuat Pekasam. Bahan-bahan yang diperlukan ialah ikan tamban (ada juga yang menggunakan ikan tilapia, puyu, haruan atau keli), daun mangga, garam, asam jawa dan pasu ataupun periuk tanah. Ikan disiang dan dibersihkan terlebih dahulu, kemudian ditoskan. Ambil daun mangga lalu disusun di dasar periuk tanah. Kemudian, ambil ikan dan susun berselang-selikan dengan garam dan asam jawa. Jangan lupa dilumurkan juga di dalam perut ikan itu. Akhir sekali, tutup ikan itu dengan daun mangga. Tutup rapi periuk tanah lalu dibiarkan di atas dapur selama 2 atau 3 hari. Jika nampak sudah berair, maka pekasam itu telahpun menjadi. Untuk menikmati makanan ini, gaulkan ikan pekasam, hirisan bawang, cili dan perahan limau kasturi. Ada juga yang menggoreng ikan berserta dengan bawang dan cili terlebih dahulu sebelum memakannya. Makanlah bersama-sama nasi yang panas. Amboi.... enaknya... mak mertua lalu pun tak sedar! Jika anda ingin melihat rupa hidangan ini, sila ke lelaman http://hanieliza.fotopages.com/?entry=946993. Namun resepinya agak berlainan kerana dicampurkan dengan sedikit beras semasa pemerapan. Sudi sudilah mencuba ya! Wassalam, SBB |
Pertandingan Blogging > July 2010 Hsiutorng . Basecode. |