html> Hilang Bahasa, Lenyaplah Bangsa
No right-clicking !
Copyrighted (c)
All rights reserved.




Friday, July 30, 2010.
-

Sebagaimana yang kita maklum setiap yang bermula, pasti ada akhirnya. Selamat tinggal 'Bulan Bahasa, semoga berjumpa lagi di lain masa. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur yang menjayakan peraduan blogging ini.

Banyak yang telah saya pelajari tentang blogging ini. Bermula daripada mencari lelamannya, memilih tabir supaya kelihatan menarik sehinggalah memuatnaikkan gambar-gambar.

Dengan pengalaman ini, saya akan terus menghidupkan penggunaan bahasa Melayu dengan meneruskan blogging. Saya dapat merasakan seronoknya meluahkan buah fikiran dan juga berkongsi-kongsi pendapat. Semoga apa yang telah saya sampaikan dapat diterima dengan baik.
Mohon maaf jika terdapat sebarang kesalahan kerana saya hanya manusia biasa sahaja.

Wassalam,
SBB =)


.
-

Saya telah membaca sebuah buku bertajuk Budaya dan Falsafah Orang Melayu Karya Dr. Abbas Mohd Shariff. Isinya sangat menarik dan saya ingin berkongsi dengan para pembaca.

Orang Melayu dahulu kala sangat kaya dengan pantang larang. Mereka dimestikan mematuhi segala pantang larang yang telah diturunkan oleh generasi terdahulu dari mereka. Jika pantang larang itu dikhianati, maka dikhuatiri makhluk-makhluk halus akan menjadi marah, akibatnya mereka akan mendapat bencana ataupun penyakit.

Terdapat berbagai jenis pantang larang, ada yang berkaitan dengan makanan, perbuatan dan lain-lain lagi. Ada kalanya pantang larang ini baik dan ada sebaliknya. Bolehkah anak-anak muda sekarang percaya dengan pantang larang sebegini?

Contohnya, anak dara tidak boleh menyanyi didapur, dikhuatiri akan bertemu jodoh dengan orang tua, tidak boleh bersiul di dalam rumah, dikhuatiri ular akan datang dan sebagainya. Mungkin orang-orang tua dahulu ingin menerapkan disiplin supaya apabila memasak hendaklah si dara itu fokus tentang apa yang dilakukan. "Tidak masuk akal jika kita bersiul, ular akan datang", itulah kata-kata pendapat yang diberi oleh generasi muda kita.

Ada baiknya pantang larang ini, tidak boleh menjahit baju yang sedang di pakai. Sebagai ibu kita juga akur pantang larang ini amat baik, supaya jarum tidak tercucuk ke anggota ataupun jahitan akan lebih kemas jika baju itu ditanggalkan dahulu.

Hai macam-macam lagilah pantang larang dahulu kala........ kalau nak disenaraikan mungkin saya boleh terbitkan buku sendiri.

Wassalam,
SBB


Thursday, July 29, 2010.
-
Daun sirih sangat popular dikalangan orang-orang tua dahulu kala. Terdapat beberapa jenis daun sirih, ada yang jenis lembut, daunnya besar, kecil dan lain lain lagi. Daun sirih adalah sejenis tumbuhan yang merambat dan amat senang ditanam. Tanaman ini biasa tumbuh di tempat yang panas mahupun ditempat yang terlindung.


Di zaman dahulu, datuk dan nenek kita sangat gemar mengunyah daun sirih bersama-sama dengan buah pinang dan gambir. Kalau kita pernah dengar, orang-orang dahulu jarang sekali menghidap sakit gigi, mungkin kerana mereka mengunyah daun sirih. Akibat banyak mengunyah, gigi mereka menjadi merah kecoklat-coklatan tetapi tetap utuh.


Kalau di Singapura, kita boleh membeli daun sirih di Geylang ataupun di Tekka sahaja, jarang sekali kita dapati ditempat lain. Kalau di dalam majlis perkahwinan, daun sirih digunakan untuk membuat sirih dara dan ada yang mengunakan untuk bekas untuk bunga rampai.


Selain itu daun sirih juga telah dikenali sebagai penawar dan boleh juga digunakan untuk mengatasi bau badan dan mulut, gatal-gatal dan mengubati keputihan. Ini kerana daun ini mengandungi zat antiseptik yang mampu membunuh kuman. Ada juga yang menggunakan untuk mengubati sakit mata, batuk, bronchitis dan lain-lain lagi.


Salah satu cara untuk menghilangkan bau mulut, cuba ambil empat helai daun sirih lalu diramas bersama air dan berkumur-kumur.


Begitulah serba sedikit tentang daun sirih......

Wassalam,
SBB




.
-




Saya sering teringatkan arwah bapa kebelakangan ini. Bapa saya telah meninggal dunia pada tanggal 26 haribulan March 1992. Beliau seorang yang tegas, garang dan bertanggungjawab. Namun beliau sangat disenangi oleh kawan-kawan serta keluarga kerana sifatnya yang baik hati dan sering membantu orang yang memerlukan pertolongan tatkala mereka ditimpa masalah.


Walaupun arwah bapaku telah lama bermastautin di Singapura, beliau seringkali terkenang masa lalunya di kampung, terutama sekali makanan-makanan kampung. Salah satu lauk yang digemarinya ialah Pekasam.


Apakah itu Pekasam? Tidak mungkin semua orang tahu, apatah lagi anak-anak muda sekarang. Jika anda ingin mencuba, ikutilah cara-cara membuat Pekasam.


Bahan-bahan yang diperlukan ialah ikan tamban (ada juga yang menggunakan ikan tilapia, puyu, haruan atau keli), daun mangga, garam, asam jawa dan pasu ataupun periuk tanah.


Ikan disiang dan dibersihkan terlebih dahulu, kemudian ditoskan. Ambil daun mangga lalu disusun di dasar periuk tanah. Kemudian, ambil ikan dan susun berselang-selikan dengan garam dan asam jawa. Jangan lupa dilumurkan juga di dalam perut ikan itu. Akhir sekali, tutup ikan itu dengan daun mangga. Tutup rapi periuk tanah lalu dibiarkan di atas dapur selama 2 atau 3 hari. Jika nampak sudah berair, maka pekasam itu telahpun menjadi.


Untuk menikmati makanan ini, gaulkan ikan pekasam, hirisan bawang, cili dan perahan limau kasturi. Ada juga yang menggoreng ikan berserta dengan bawang dan cili terlebih dahulu sebelum memakannya. Makanlah bersama-sama nasi yang panas. Amboi.... enaknya... mak mertua lalu pun tak sedar!


Jika anda ingin melihat rupa hidangan ini, sila ke lelaman http://hanieliza.fotopages.com/?entry=946993. Namun resepinya agak berlainan kerana dicampurkan dengan sedikit beras semasa pemerapan. Sudi sudilah mencuba ya!

Wassalam,
SBB




.
-

"Orang tua ni banyak songehlah, apa lagi yang nak dicarinya". Begitulah perkataan yang dikeluarkan daripada mulut seorang anak muda terhadap seorang perempuan tua seusia saya. Mungkin kita kerap mendengar perkataan itu, rasanya perkataan itu memang berbaur biadapkan? Tetapi pada generasi muda hari ini tak ada bendalah katanya.

Entah ke manakah kesopanan mereka, semakin tinggi pelajaran semakin buruk perangai mereka. Saya tak cakap semuanya begitu, tetapi cuba perhatikan se sekeliling kita banyak yang terjadi kan? Kadang-kadang di dalam keluarga sendiri pun pernah terjadi. Warga emas seperti kita ni banyak mengalah, bukanlah apa, kerana kita hendak menjaga suasana, jadi kita selalu dapat mema'afkannya.

Sampai bila kita dapat bertahan? Kadang-kadang tu tersembur juga kemarahan kita. Adakalanya kita tegur dengan lembut dan ada kalanya mesti berkeras.

Sebagai orang tua kita selalu inginkan anak-anak yang baik-baik, dari segi apa pun. Marilah kita sama-sama panjatkan doa semoga anak-anak kita selalu mananamkan sifat bai budi serta bersopan santun dengan orang-orang seperti kita.

Amin.... amin..... amin.... Ya Rabbal A'lamin.........


Wassalam,
SBB


Wednesday, July 28, 2010.
-
Apakah alat yang paling berguna jika mesin kisar kita rosak? Jawapannya tentulah "Ah! Beli yang baru sudahlah!". Tetapi jika kita ada lesung batu ataupun batu giling, tentu kerja-kerja yang terbengkalai itu dapat kita atasi dengan segera. Dan jarang sekali kita boleh dapati barang antik ini di rumah-rumah sekarang terutamanya generasi muda kita.

Saya cuma ingin menyarankan agar kita dapat menyimpan lesung batu ataupun batu giling di rumah, bukanlah apa, manalah tahu jika terdesak, dapatlah alat-alat ini menolong kita. Saya bersetuju bahawa batu giling kian pupus ditelan arus, kerana kerja-kerja mengisar telahpun diambil alih oleh mesin pengisar.

Tahukah anda jika kita memasak menggunakan lesung batu, masakan akan lebih enak jika dibandingkan dengan menggunakan alat pengisar. Contohnya sambal belacan, sambal yang dihasilkan dengan menumbuk cili serta bahan-bahan lainnya akan bertambah umphhh.......! Kalau tidak percaya cuba bezakan!

Hah! Satu lagi! Jika ingin memasak bening (kuah air), bahan bahannya sedikit sahaja. Jadi lebih jimat dan ringkas kalau digunakan lesung batu bukan? Anak lesung boleh juga digunakan untuk menumbuk keledek atau kentang yang direbus ataupun yang telah digoreng.

Saya rasa mereka yang seangkatan dengan saya amat setuju dengan pendapat saya ini. Kalaulah boleh saya mencadangkan supaya kita memberi hadiah lesung batu kepada pasangan-pasangan muda yang berpindah rumah, supaya warisan kita ini dapat diteruskan kepada generasi akan datang!

Wassalam,
SBB


.
-
"Ibu! Macam mana nak ikat kain ni, dah terlondeh kain adik ni!".
Itulah yang diucapkan apabila saya mula memperkenalkan anak bongsu saya dengan kain batik sarong. Saya amat selesa sekali mengenakan kain batik sarong di rumah. Semenjak dari kecil lagi, kami adik-beradik telah pun mengenakan pakaian baju kurung, almaklumlah kami bersekolah di sekolah Melayu berseragam baju kurung. Kainnya diikat sendiri tanpa menggunakan getah atau kancing sepertimana yang ada sekarang.

Memang jarang sekali kita perhatikan anak gadis kita memakai kain batik sarong di rumah. Mereka lebih gemar berseluar pendek ataupun panjang. Bukankah lebih manis apabila si gadis menutup aurat dengan memakainya. Kegunaan sampingan ialah semasa di dalam tandas (sedang termenung), ia boleh juga digunakan untuk menutup kepala.

Kain batik ada dua jenis, yang satu dipanggil kain sarong dan lagi satu kain batik lepas. Kedua-dua kain batik ini amatlah sesuai dipakai semasa majlis keramaian, perkahwinan ataupun hari raya. Dahulu, kain batik ini diperagakan dengan baju kebaya ataupun baju kurung.

Jika di majlis kematian, kain batik lepas digunakan untuk menutup mayat ataupun keranda. Nasihat saya supaya dapatlah kita menyimpan beberapa helai kain ini di rumah. Manalah tahu jika kita perlukannya di masa kecemasan. Dan dapatlah juga kita memperingatkan kepada generasi muda kita untuk berbuat demikian.


Saya akhiri dengan serangkap pantun:


Jalan jalan ke kedai Ah Tik,

Untuk membeli si buah betik;

Tua dan muda berkain batik,

Kelihatan manis dan juga cantik.


Wassalam,
SBB




.
-
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Peribahasa itu mengingatkan saya tentang kerja bergotong-royong yang dahulunya kita lihat semasa di kampung-kampung, di majlis keramaian mahupun acara-acara lainnya.

Jika kita imbas kembali di masa lalu, contohnya di majlis perkahwinan, orang-orang kampung selalunya akan duduk berbincang dan membahagi-bahagikan tugas. Ada yang ditugaskan di bahagian dapur, seperti memasak, menyembelih, menggoreng dan sebagainya. Ada ditugaskan di bahagian depan seperti membina bangsal, khemah, melayan tetamu dan sebagainya.

Orang-orang kampung akan datang beramai-ramai bergotong-royong untuk melaksanakan kerja-kerja yang telah diarahkan. Seperti kita dengar majlis dulu-dulu selalunya diadakan beberapa hari, ada 3 hari tiga malam, ada yang tujuh hari dan sebagainya. Mereka saling bantu- membantu dan senantiasa gembira.

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka akan menyumbangkan barang-barang seperti beras, susu, gula dan lain-lain. Tuan rumah akan mencatitkan barang-barang yang diberi dan akan membalasnya jika si pemberi mengadakan majlis kelak.

Namun, situasinya agak lain pula sekarang. Sanak saudara hanya berkumpul seketika dan ada juga yang datang hanya pada hari persandingan. Alasannya mereka sering sibuk, anak-anak bersekolah, anak-anak bekerja, anak ada kelas tambahan dan lain-lain lagi.

Segala tugas memasak, menyiapkan keperluan majlis baik pun bilik penggantin telah diuruskan oleh orang-orang profesional. Kita hanya perlu menyiapkan ongkosnya sahaja. Suasana kemeriahan hanya dikecapi sebentar sahaja, tidaklah seperti dahulu di mana kaum keluarga akan bersama-sama kita untuk beberapa hari. Tetapi pada hari ini, apabila majlis telah selesai, maka mereka semua akan turut beredar, yang tinggal hanyalah keluarga tersebut.

Situasi beginikah yang akan dilalui generasi akan datang? Marilah sama-sama kita renungkan.


Wassalam,
SBB


.
-

Kalau orang-orang bangsa lain ada makanan yang dimegah-megahkan, begitu juga kaum Melayu kita. Kali ini, saya akan mengetengahkan makanan untuk sarapan ataupun minuman petang dan boleh juga dihidangkan jika kita menerima tetamu.


JENG JENG JENG........
(dipetik daripada "google")

CUCUR!!! Ada yang menggelarkannya jemput-jemput, cekodok dan lain-lain lagi. Makanan ini amat mengenyangkan. Namanya mungkin tidak glamor... tapi makanan ini amat popular dikalangan warga warga emas seperti saya. Cucur ada dua rasa, ada yang manis dan ada yang dimakan bersama kuah, sos ataupun sambal tumis. Teringat saya di waktu kecil, semasa di kampung, cucur ini disediakan bersama asam pedas yang telah pekat (lauk semalaman yang dipanaskan) dan kami adik-beradik akan berebut-rebut memakannya. Alangkah indahnya suasana seperti itu!

Membuat cucur ini bukanlah susah sangat, selalunya tidak perlu mengikut peraturan. Cuma campurkan bahan-bahannya sahaja. Konon-konon sudah mahirlah! Cucur ada banyak rasa, ada cucur bawang, cucur pisang, cucur cempedak, cucur biasa dan lain-lain lagi. Selalunya, saya akan mencampurkan sedikit tepung gandum, tepung naik sendiri (bila digoreng cantik bulatnya), telur, bawang, udang atau ikan bilis, daun bawang, daun sup, lada hidup dan garam.

Cucur enak dimakan panas-panas. Kalau ada lebihan roti yang tidak hendak dimakan, bolehlah dicampurkan ke dalam adunan. Cucur akan bertambah lembut. Cucur juga digemari oleh semua lapisan umur.... tidak kira yang muda mahupun yang tua. Mudah disediakan dan sangat mengenyangkan!!!! Cubalah!

Wassalam,
SBB


Sunday, July 25, 2010.
-

Nama saya Sakyah Bte Badron, berumur.....(rahsia), dilahirkan di Melaka dan mendapat kerakyatan setelah 21 tahun. Kini, saya menetap di bahagian barat Singapura dan tinggal bersama suami, dua orang putera dan dua orang puteri.

Secara jujur, inilah pertama kali saya menulis blog.Sebelum ini, saya hanya mendengar perkataan blogging disebut anak-anak. Hendak mula mencari bagaimana untuk membuat blog pun saya tidak tahu.


Akhirnya, saya gagahi juga bertanya kepada anak-anak setelah disarankan untuk menyertai pertandingan ini. Saya berasa bangga dapat sama-sama menyertai peraduan ini sempena menjayakan Bulan Bahasa 2010.


Teringat kembali semasa anak-anak masih menuntut di sekolah rendah di mana saya selalu menggalakkan mereka menyertai pertandingan-pertandingan Bahasa dan budaya Melayu ataupun yang bersempena dengan Bulan Bahasa yang dianjurkan pihak sekolah dan juga kelab masyarakat. Mereka juga aktif mengikuti latihan silat di persatuan penduduk berdekatan.

Alhamdulillah, mereka berjaya membawa pulang kemenangan bagi kebanyakkan peraduan.
Namun, adat pertandingan, ada kalah dan ada yang menang. Apabila mereka kecundang, saya akan mendorong mereka untuk lebih berusaha dan menjadikan kegagalan itu sebagai satu pengalaman. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya bukan?
Ohyah, lihat piala-piala yang dimenangi mereka di bawah!








Untuk menerapkan penggunaan bahasa Melayu, saya dan suami sering menggunakan bahasa Melayu di rumah. Daripada ini, saya dapati bahawa anak-anak saya tidak bermasalah dalam pelajaran bahasa Melayu mereka, bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Amboooooooiiii!


Semoga bahasa Melayu akan kekal relevan untuk selamanya dan syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur!


Tinggi-tinggi si pohon kelapa,
Kencang bayu meniup laju;
Bahasa Melayu jangan dilupa,
Semoga Melayu terus maju.


Wassalam,
SBB














Pertandingan Blogging
>

July 2010
Hsiutorng .
Basecode.